BTS Media

Suasana harmoni Bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail: Satu rahmat yang perlu dihargai

BAGI Dr. Pola Singh, pemandangan bazar Ramadan di seluruh negara, khususnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, adalah bukti nyata keharmonian Malaysia.

Beliau yang banyak menulis kepada akbar tempatan, berkata banyak ruang terbuka telah berubah menjadi Bazar Ramadan yang meriah, justeru mencuit deria indah dengan pelbagai hidangan dan warna.

“Di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, para peniaga kelihatan begitu rancak menjual pelbagai juadah istimewa yang lebih terserlah pada bulan suci ini. Pelanggan sanggup beratur panjang di gerai-gerai yang menampilkan hidangan paling popular kesukaan masing-masing,” tambah Dr. Pola Singh.

“Suasana aman dan keharmonian sebegini jelas terpancar apabila rakyat Malaysia dari semua kaum, malah warga asing, berkumpul dan seolah-olah tidak sabar untuk mencuba pelbagai jenis makanan. Ia adalah pemandangan menyentuh hati, yang membuktikan bahawa makanan mempunyai cara unik untuk menyatukan masyarakat. Keharmonian di bazar ini terasa begitu normal dan amat menyentuh,” jelas beliau.

Namun, Dr. Pola Singh turut mengingatkan bahawa di beberapa negara lain yang dilanda konflik, keadaan jauh berbeza.

“Mereka tidak menikmati ketenangan yang sering diambil mudah oleh rakyat Malaysia. Perjalanan mudah hanya untuk membeli makanan boleh bertukar menjadi tragedi dalam sekelip mata,” katanya.

“Di Malaysia, kita bergerak bebas, berbual dengan penjual dan berasa teruja dengan makanan. Satu-satunya kebimbangan kita ialah tentang hidangan mana yang hendak dipilih. Kebebasan untuk berkumpul dan berkongsi detik ini tanpa rasa takut adalah satu keistimewaan yang tidak boleh diperkecil,” ujar beliau.

“Tiada bunyi siren serangan udara, tiada kemusnahan, tiada ketakutan dan rasa gerun — hanya kehangatan mesra komuniti dan kegembiraan. Saya berasa bersyukur dan sangat menghargainya. “Kita amat beruntung, masyarakat dari semua kaum boleh membeli-belah bersama. Ia adalah rahmat yang sederhana tetapi mendalam,” kata Dr. Pola Singh.

“‘Selamat Berpuasa’ kepada rakan-rakan Muslim saya. Terima kasih kerana mengingatkan saya betapa bertuahnya kita menganggap negara yang aman ini sebagai rumah kita,” katanya mengakhiri pandangannya yang disiarkan dalam akhbar bahasa Inggeris, NST.

-BTS Media

Leave a Comment