GAMBAR: The Nation
SEORANG pelancong Rusia berusia 44 tahun mengalami kecederaan di muka selepas melawan tiga penyerang yang didakwa cuba merogol dua wanita warga Finland di sebuah hotel di daerah kecil Patong, wilayah Phuket, pada awal pagi hari Sabtu (8 Mac).
Menurut polis, pelancong yang cedera itu, dikenali sebagai Aleksandr Belinskii, telah dihantar ke Hospital Patong dari hotel di Jalan Rat Uthit 200 untuk menerima rawatan luka dan berada dalam keadaan stabil, lapor akhbar The Nation.
Dua wanita warga Finland tersebut memberitahu polis bahawa mereka berada di bilik mereka di hotel itu apabila tiga lelaki, juga warga asing, memecah masuk dan cuba merogol mereka.
Belinskii, yang kebetulan sedang berjalan melintasi depan bilik mereka, melihat kejadian itu dan cuba menghalang lelaki-lelaki tersebut, yang kemudian menyerangnya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian, kata wanita-wanita itu.
Polis berkata mereka sedang meneliti rakaman dari kamera keselamatan hotel untuk mengenal pasti dan mengesan penyerang-penyerang tersebut.
-BTSMedia