BTS Media

Gula-gula ‘gummy’ dikeluarkan dari pasaran kerana risiko tercekik

BEBERAPA platform dalam talian tidak lagi menjual gula-gula ‘gummy’ sebesar bola ping-pong, berikutan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semakan mendapati bahawa gula-gula itu tidak lagi dijual di platform e-dagang.

Sebelum ini gula-gula tersebut dijual pada harga serendah 80sen sebiji atau RM12.50 untuk sebalang 30 biji.

Minggu lalu, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia selepas tercekik gula-gula ‘gummy’ yang dibelinya di luar sekolah SK Sungai Dua di Butterworth.

Sebuah syarikat pengendali platform e-dagang berkata pihak mereka akur dengan arahan KKM supaya tidak menjual produk tersebut.

“Penyenaraian produk yang dikenal pasti tidak patuh telah diturunkan,” kata syarikat itu.

Pada hari Jumaat, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, dua platform beli-belah dalam talian diarah supaya tidak mengiklan dan mempromosikan produk itu.

Akhbar The Star melaporkan bahawa di Pulau Pinang, pengerusi jawatankuasa kesihatan negeri Daniel Gooi berkata pemantauan kegiatan gerai menjual makanan ringan berhampiran sekolah menunjukkan peniaga mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya jangan menjual gula-gula berkenaan.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri telah bertindak merampas produk tersebut, yang dikenali sebagai “Gummy Original Basketball Soft Candy”, daripada gerai menjual makanan ringan minggu lepas susulan  tragedi itu.

Gooi berkata pakar kesihatan menasihati para penjual cara untuk mengetahui potensi bahaya produk mereka yang dijual, sambil menambah bahawa jabatan itu akan memantau keadaan secara berterusan.

Siasatan oleh pihak kementerian mendapati gula-gula itu melanggar syarat pelabelan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Peraturan ini menyatakan bahawa produk dengan diameter 45mm atau kurang mesti mengandungi label bahaya tercekik dan peringatan had umur.

Rampasan produk telah dilaporkan di dua negeri, iaitu di Pulau Pinang, tempat kejadian itu berlaku, dan terbaharu di Terengganu.

Pada hari Isnin, Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Kasemani Embong berkata penguatkuasaan di Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu menyaksikan gula-gula ‘gummy’ bernilai kira-kira RM1,300 dirampas.

-BTS Media

Leave a Comment