BTS Media

Kes pencen tentera, menteri pertahanan kata tunggu Mei ini

KERAJAAN berpendirian tidak ada perbezaan dalam formula pelarasan pencen veteran tentera yang tamat perkhidmatan sebelum dan selepas 1 Jan 2013.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kaedah pencen bagi pesara sebelum dan selepas tempoh tersebut sebenarnya adalah sama.

“Formulanya, kaedahnya, cara, dan kadarnya tidak pernah diubah dan telah dilaksanakan secara teratur seperti diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982.

“Disebabkan kerajaan berpendirian telah wujud pelarasan pencen dan pencen veteran bersara sebelum Januari 2013 telah diberikan dengan cara dan kadar yang sepatutnya, maka kerajaan memerlukan ketetapan dan pencerahan daripada Mahkamah Rayuan,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat.

Pada 5 Feb tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhammad Said memutuskan semua pesara tentera bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah digunakan untuk pesara yang bersara selepas tarikh tersebut.

Beliau juga memutuskan bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 dan/atau Perkara 8 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal membuat pelarasan pencen sewajarnya bagi pesara tentera yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Seramai 50 anggota tentera pelbagai pangkat termasuk mejar, leftenan, staf sarjan, dan prebet memfailkan saman pemula pada 17 Nov 2022 kerana kerajaan gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk pesara yang bersara sebelum tempoh berkenaan.

Kumpulan itu mahu mendapatkan deklarasi bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972.

Susulan keputusan itu, kerajaan, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, dan dua pihak lain mengemukakan rayuan dengan tarikh keputusan ditetapkan pada 6 Mei ini, di Mahkamah Rayuan.

Dalam pada itu, Khaled berkata kes pencen veteran tentera itu adalah berkait interpretasi undang-undang.

Katanya, kerajaan memerlukan panduan dan perintah Mahkamah Rayuan tentang apakah dimaksudkan Mahkamah Tinggi bahawa tidak wujud pelarasan pencen.

Katanya, kerajaan memberi jaminan akan patuh kepada perintah yang akan diberikan Mahkamah Rayuan nanti.

Beliau berkata, sekali pun jika kerajaan menang dalam rayuan itu, penyelarasan pencen yang sudah dilakukan pada hari ini tidak akan terkesan atau ditarik balik.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/02/20/kes-pencen-tentera-berkait-interpretasi-undang-undang-tunggu-mei-ini-kata-khaled/

Leave a Comment