BTS Media

Cuaca dijangka panas bermula Februari

WALAUPUN banyak kawasan masih mengalami hujan, negeri-negeri utara di semenanjung perlu mula bersiap sedia untuk suhu lebih panas tidak lama lagi.

Gelombang haba dijangka bermula bulan Februari, walaupun ia tidak sekuat tahun lepas, kata pakar, lapor The Star.

“Ini kerana fenomena La Nina,” kata pakar klimatologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Prof Dr Azizan Abu Samah.

La Nina ialah corak iklim yang menyebabkan penyejukan suhu permukaan laut di sepanjang pantai barat tropika Amerika Selatan.

Iklim tersebut akan menyaksikan pembentukan awan lebih aktif yang akan menyebabkan kurang sinaran suria dan kurang suhu panas permukaan.

Menurut Azizan, Semenanjung Malaysia akan mula mengalami suhu lebih panas mulai bulan Februari apabila monsun timur laut berakhir.

“Negeri yang biasanya akan merasai musim kemarau ialah Kedah dan Kelantan, kerana bahagian barat laut dan timur laut semenanjung terdedah kepada gelombang panas,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan berbeza pula di Sabah dan Sarawak, dan Johor.

“Musim hujan di sana akan berlangsung sehingga bulan Februari apabila palung monsun bergerak ke arah selatan.”

Tahun lepas ialah tahun El Nino, yang menyebabkan kurang hujan di seluruh wilayah, dan peningkatan suhu.

Sesetengah sekolah terpaksa menangguhkan semua aktiviti di luar bilik darjah pada bulan Mac, kerana suhu melebihi 35°C.

Felo Akademi Sains Malaysia Prof Dr Fredolin Tangang berkata dalam beberapa bulan akan datang, pengaruh La Nina akan membawa lebih banyak kelembapan ke rantau ini, dan menyebabkan hujan lebat meluas.

MetMalaysia berkata monsun timur laut, yang bermula pada 5 Nov, dijangka berterusan sehingga bulan Mac.

Kawasan utara semenanjung dijangka kurang mengalami hujan, yang akan membawa kepada cuaca panas dan kering dengan kemungkinan gelombang haba.

Pada bulan Januari dan Februari, hujan lebat diramalkan di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah, katanya.

-BTS Media

Leave a Comment