BTS Media

Lima sekeluarga maut nahas Jalan Nenasi-Rompin dikebumi dalam satu kubur

GAMBAR: Bomba Pahang.

MANGSA lima sekeluarga kemalangan jalan raya dua kenderaan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin tengah hari ini (Ahad 12 Jan) dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai.

Jenazah terdiri daripada Hamzah Zahari, 53, isteri, Rahimah Awang Muda, 38, dan anak, Ainul Mardhiyah Hamzah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4.

Selepas diuruskan di Hospital Pekan, kesemua jenazah dibawa ke Masjid Nenasi untuk disolatkan oleh lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7 malam Sabtu (11 Jan) apabila Proton Wira Aeroback dari Rompin menuju ke Nenasi bertembung dengan MPV Nissan Grand Livina dari arah bertentangan.

Kesemua lima penumpang Proton Wira Aeroback – sepasang suami isteri dan tiga anak mereka maut di tempat kejadian, manakala dua orang dalam Nissan Grand Livina mengalami kecederaan.

Yang cedera ialah pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota Wahaid Zakaria, 51, yang memandu MPV dan isterinya, Salasiah Abdul Latif, 43, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Karang, Kuantan.

-BTS Media

Leave a Comment