BTS Media

Mangsa kebakaran lima sekeluarga terpaksa berhimpit hidup dalam khemah

GAMBAR: Sinar Harian.

LIMA keluarga di Kampung Bunut Payong, Kota Baharu, Kelantan terpaksa tinggal dalam bangsal dan khemah akibat kebakaran tujuh bulan lalu.

Kesemua 30 keluarga yang terkesan akibat tragedi itu juga terpaksa menumpang di tanah penduduk dan berkongsi bilik air yang terletak kira-kira 50 meter dari khemah mereka.

Wartawan Sinar Harian yang membuat tinjauan di lokasi mendapati walaupun ada tapak untuk membina rumah, namun disebabkan oleh masalah wang usaha itu tidak dapat diteruskan.

Menurut mangsa, Zainun Dollah, 71, selepas seminggu kebakaran berlaku,  anak dan cucunya telah membina sebuah bangsal kecil untuk dia dan suami, Deris Sulaiman, 81, untuk keselamatan dan memudahkan mereka berulang-alik ke tandas.

Dia berkata, bangsal selebar 3.6 meter × 6.1 meter itu dibina menggunakan kayu yang tidak terbakar pada rumah lama, sementara atap zink pula disumbangkan oleh orang ramai.

Zainun memberitahu Sinar Harian bahawa mereka terpaksa bertahan panas dan basah apabila hujan.

Menantunya, Noriza Kadir, 51, berkata mereka terpaksa tinggal di dalam khemah kerana tidak mampu membayar sewa, apatah lagi memandangkan kos sara hidup yang tinggi.

Noriza yang menyara hidup dengan membuat kuih-muih sejak 25 tahun lalu berkata pendapatannya merosot selepas kebakaran kerana semua peralatan yang disumbangkan oleh sebuah agensi musnah dalam kejadian itu.

Dia berkata mereka hanya tinggal sehelai sepinggang, sementara barang dalam khemah pula disumbangkan oleh penduduk setempat.

Menurutnya lagi, pembinaan rumah di atas tanah milik mertua tidak dapat diteruskan kerana wang bantuan yang diterima daripada pemimpin setempat dan orang ramai tidak mencukupi.

“Kami sangat berharap dapat menduduki rumah yang siap sepenuhnya menjelang Ramadan akhir Mac depan,” katanya.

Noriza tinggal di khemah itu bersama lapan ahli keluarganya, termasuk suami, tiga anak dan anak saudara.

Sementara itu, anak Zainun, Norila Deris, 56, membina pondok berasingan dan tinggal bersama suami serta tiga anak berusia 30 hingga 35 tahun.

“Kami kini tinggal berhimpit dalam pondok kecil ini selepas semua barang hangus dalam kejadian Julai lalu.

“Saya berdoa semoga kehidupan kami kembali seperti sebelum bencana dan dapat berhari raya dalam rumah yang sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Kebajikan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Nozlyhairani Suhana Mohamed berkata, mereka maklum bahawa keluarga itu berdepan dengan kesukaran selepas tiga rumah terbakar.

“Keluarga ini juga berusaha untuk membina rumah tiga pintu yang boleh menjimatkan kos tetapi wang bantuan tidak mencukupi,” katanya.

Beliau mengalu-alukan bantuan orang  atau mana-mana syarikat untuk membantu menyiapkan rumah mereka sebelum Ramadan.

Bantuan bagi mencukupkan dana pembinaan rumah keluarga itu boleh disumbangkan dengan menghubungi Noriza di nombor telefon 017 963 7335.

-BTS Media

Leave a Comment