PENGANJURAN Karnival Havoc Food Festival di tempat letak kereta Sama Square, Setapak, Kuala Lumpur sejak 9 Jan lalu diarah dihentikan bermula hari ini.
Menteri sumber asli dan kelestarian alam, Nik Nazmi Ahmad berkata arahan itu dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa.
“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya menyusuli tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut memaklumkan permohonan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi mengadakan festival itu ditolak dua kali kerana permohonan lewat dan aduan penduduk berkaitan masalah lalu lintas.
“Pihak penganjur diingatkan tidak mengulangi kesalahan terbabit dan mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam.”
Tular di media sosial sejak 9 Jan lalu apabila penduduk di sekitar kawasan itu memberi reaksi negatif kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas hampir dua jam akibat penganjuran karnival yang dijadualkan tamat esok.
-Bernama