SALAH seorang daripada dua anggota kru yang terselamat dalam nahas pesawat maut pada hari Ahad (29 Dis) tidak banyak bercakap tentang kemalangan itu, tapi sekadar memberitahu doktor bahawa dia “hanya sedar setelah diselamatkan”.
Memandangkan keadaannya petugas perubatan tidak lagi mahu bertanya lanjut bagi mengelakkan trauma lebih serius.
Pengarah Pusat Perubatan Ewha Woman’s University Medical Center, Ju Woong, di mana pramugari bernama Lee sedang dirawat, memberitahu pemberita malam hari Ahad bahawa pramugara yang terselamat itu tidak bercakap secara terperinci tentang kemalangan yang berlaku pada kira-kira pukul 9 pagi Ahad, lapor akhbar Korean Herald.
“Dia mengalami trauma, dan kami tidak bertanya secara khusus mengenai kemalangan itu,” kata Ju.
Ditanya sama ada Lee mengalami kehilangan ingatan, Ju berkata masih terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan sedemikian. Tambahnya, Lee mampu berkomunikasi sepenuhnya.
Lee pada mulanya dibawa ke hospital di Mokpo, Wilayah Jeolla Selatan, tetapi dipindahkan ke pusat perubatan yang berpangkalan di Seoul pada kira-kira pukul 4:15 petang Ahad.
Dia disahkan mengalami patah tulang di lima bahagian badan, bersama-sama luka di dahi dan kulit kepala.
Dia kini menjalani rawatan rapi kerana kemungkinan mengalami lumpuh akibat kerosakan saraf, dan dijadualkan dirawat oleh pakar psikiatri.
Seorang lagi mangsa yang terselamat daripada nahas itu, pramugari wanita bernama Gu, sedang dirawat di Pusat Perubatan Asan di Seoul. Dia mengalami kecederaan pada buku lali dan kepalanya, tetapi keadaan itu tidak mengancam nyawa.
Kakitangan perubatan di hospital itu enggan mengulas mengenai keadaannya secara khusus.
Hanya Lee dan Gu terselamat dalam nahas penerbangan Jeju Air 7C 2216, yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Wilayah Jeolla Selatan.
Pesawat itu mendarat tanpa menggunakan peralatan pendaratan kerana punca yang tidak dapat dipastikan, dan menyebabkan 179 daripada 181 penumpang dan anak kapal maut.
Pihak berkuasa masih menjalankan proses pengecaman mangsa, bersama-sama siasatan punca sebenar kemalangan.
Kerajaan Korea Selatan telah menetapkan tempoh berkabung seluruh negara selama tujuh hari dilanjutkan sehingga tengah malam pada 4 Jan.
-BTS Media