BTS Media

BERSIH gesa henti tekanan terhadap aktivis, pengkarya berekspresi

GABUNGAN badan pemantau reformasi pilihan raya BERSIH menyatakan pendirian solidariti dengan kumpulan masyarakat sivil dan aktivis yang dikenakan tekanan dan kerana bersuara dan berekspresi.

Badan itu merujuk kepada dakwaan tindakan terhadap pameran “Ruang Khas” SUARAM selama tiga hari di Pulau Pinang mengenai kematian dan penyeksaan semasa dalam tahanan polis, serta siasatan terbaharu terhadap pereka grafik Fahmi Reza.

Mereka berkata tekanan dan penyiasatan terhadap aktivis ini menunjukkan bagaimana pihak berkuasa dari sehari ke sehari menindas dan menyempitkan ruang bersuara masyarakat sivil.

BERSIH juga mempersoalkan ke mana perginya semangat reformasi dan kebebasan yang dilaungkan oleh kerajaan Madani.

Mereka bertanya adakah rakyat tidak lagi bebas untuk mengkritik kerajaan melalui karya seni?

“Kerajaan Madani perlu ingat bahawa rakyat yang meletakkan mereka di puncak kuasa, dan rakyat juga boleh menjatuhkan mereka,” kata gabungan yang ditubuhkan sebagai platform untuk beberapa perhimpunan besar bagi mendesak dilaksanakan pembaharuan.

Semalam, pengarah eksekutif SUARAM Sevan Doraisamy berkata tekanan yang didakwa termasuk beberapa “lawatan” polis ke tempat acara diadakan dan pemantauan oleh unit peronda.

GAMBAR: Malaysiakini

Fahmi dipanggil ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk disoal siasat berhubung penyataannya yang secara sinis menggelar gabenor Sabah yang baharu dilantik, Musa Aman sebagai “perasuah nombor satu” negeri itu.

Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek pula mendakwa siasatan yang dianggap “kelakar” itu telah membantu mendedahkan “kemunafikan” pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan.

Menurut Zaid, siasatan terhadap Fahmi adalah konsisten seperti mana tindakan lain, termasuk mengukuhkan undang-undang zalim sedia ada.”

“Sekiranya mereka benar-benar mahu melindungi kebebasan bersuara dan berekspresi, seperti mana yang mereka laungkan dari semasa ke semasa, maka kerajaan mesti menghentikan serta-merta semua siasatan jenayah ke atas Fahmi Reza yang sekadar berkarya melalui seni satira,  dan segera memansuhkan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Zaid menegaskan bahawa masa untuk bercakap sudah berlalu, dan kini masa untuk bertindak.

Fahmi semalam mengkritik kerajaan kerana tidak menunaikan janji untuk memansuhkan Seksyen 233 CMA, dan gagal memenuhi jaminan bahawa sindiran dan parodi dilindungi di bawah pindaan baharu kepada seksyen tersebut .

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa seni mesti mempunyai kebebasan untuk berkembang, termasuk mengkritik pihak berkuasa, kerana ia adalah sebahagian daripada usaha membina negara yang progresif.

-BTS Media

Leave a Comment