BTS Media

Ahli Parlimen kerajaan pun ada yang pertahan Tun Mahathir

SEORANG ahli parlimen kerajaan mengambil pendirian bertentangan apabila tidak bersetuju dengan syor dalam Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, semalam.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata tidak wajar laporan polis dibuat ke atas Dr Mahathir Mohamad yang didakwa kononnya membuat keputusan sepihak apabila mengarahkan rayuan untuk kes tiga pulau itu ditarik balik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Mahathir merupakan perdana menteri – untuk kali kedua – ketika dia membuat arahan kepada Peguam Cara Negara ketika itu.

“Apabila disyorkan buat laporan polis (untuk) ambil tindakan jenayah ke atas Tun Dr Mahathir yang telah berusia hampir 100 tahun, (sudah) keluar masuk IJN (Institut Jantung Negara), sanggupkah kita buat ini kepada (bekas) perdana menteri kita?

“Kita bukan kalah semua. Kita kalah Batu Puteh, tetapi kedaulatan Batuan Tengah berpihak kepada Malaysia,” katanya semasa membahaskan laporan RCI itu di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut, Hassan turut mempersoalkan jika akhirnya ahli politik berusia lebih 99 tahun itu dihukum, adakah pemilikan Batu Puteh itu boleh diperoleh semula.

Dia juga mengingatkan ahli parlimen mengenai jasa dan pengorbanan pernah dibuat Mahathir.

“Takkanlah langsung tak ada jasa Dr Mahathir ini kepada negara? Ramai menteri yang ada di sini, pejabat mereka di Putrajaya.

“Siapa yang bina? Selepas kita bersidang petang ini (petang semalam) ada yang balik sampai ke Kangar, ada yang balik ke Johor Bahru. Siapa yang bina lebuh raya itu?

“Apabila kita keluar dari parlimen ini, hari gelap, kita tengok bangunan apa bercahaya, berseri-seri terkenang seluruh dunia. Siapa yang bina itu semua?” katanya.

Sementara itu seorang pemimpin kanan Umno mempertikaikan pendirian Hassan.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/728823

Leave a Comment