BTS Media

Biar kes terhadap Daim diputuskan di mahkamah, kata Na’imah

ADALAH menjadi hasrat Allahyarham Tun Daim Zainuddin agar pertuduhan yang tertangguh terhadapnya diteruskan, walau apa pun yang berlaku ke atasnya. Oleh itu, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemaknya, kata balunya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.

Beliau berkata ini kerana siasatan yang dijalankan selama lebih setahun adalah “sembrono, berniat jahat dan bermotifkan politik”.

“Ia tidak berasas jelas daripada fakta bahawa Perdana Menteri mahupun Ketua SPRM Tan Sri Azam Baki… tidak dapat menyatakan sama ada Daim telah melakukan apa-apa kesalahan, kerana tidak ada kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Selasa (19 Nov).

“Saya ingin menyatakan secara mutlak bagi pihak Daim bahawa adalah hasratnya agar pertuduhan yang belum selesai terhadapnya diteruskan di mahkamah, apa sahaja yang berlaku kepadanya, sehingga satu kesimpulan (didapatkan),” tambahnya.

Dia berkata Daim telah menantikan harinya di mahkamah dan tidak ragu-ragu bahawa dia akhirnya akan dibebaskan.

“Oleh itu, kami tidak mahu kes itu disemak, dihentikan atau ditarik balik oleh pihak pendakwaan.

“Saya telah mengarahkan peguam cara saya supaya menulis surat kepada Peguam Negara untuk memberi notis bagi menyelesaikan perkara ini, di mana peguam saya dengan sewajarnya akan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tentang keputusan kami bahawa perbicaraan diteruskan apabila perkara itu disambung semula pada hari Rabu (20 Nov),” katanya.

Pada 29 Jan, bekas menteri kewangan Daim dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas dakwaan gagal mengisytiharkan hartanya. Dia meninggal dunia pada 13 Nov pada usia 86 tahun.

-BTS Media

Leave a Comment