BTS Media

SPRM digesa tak hanya tunggu di pejabat

PEMIMPIN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa SPRM bertindak segera berhubung laporan Malaysiakini mengenai pendedahan perbuatan rasuah melibatkan lapan orang Adun yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, SPRM tidak perlu hanya menunggu di pejabat sehingga laporan dibuat.

Beliau berkata, seperti kes-kes lain mereka sepatutnya melakukan serbuan.

Menurut Rafique, di Malaysia seperti lazimnya, kalau tiada angin, mana mungkin pokok bergoyang.

“Begitulah situasinya, mulai Sabtu lepas sehingga sekarang isu yang dikaitkan seorang ahli perniagaan yang dikatakan mempunyai lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

“Yang pasti ahli perniagaan itu dikhabarkan melantik peguam untuk memastikan dia mendapat perlindungan sebagai “pemberi maklumat’.

“SPRM harus bertindak, tidak perlu menunggu di pejabat sehingga laporan dibuat,” tegas Rafique dalam kenyataan, hari ini.

Hari Sabtu lalu Malaysiakini mendedahkan bahawa ia melihat lapan video, masing-masing memaparkan Adun berbeza, yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, yang wajahnya tidak kelihatan, meminta ahli politik, termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Malaysiakini tidak mendedahkan identiti ahli politik berkenaan setakat ini atas permintaan pemberi maklumat tersebut

Mengulas lanjut, Rafique membandingkan tindakan SPRM terhadap beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini.

“Soalnya, bukankah modus operandi SPRM dalam kes-kes profil tinggi yang menghiasi dada akhbar selalunya begitu?

“(Contohnya) kes Aman Palestin, kenyataan demi kenyataan dibuat, pejabat diserbu, staf dipanggil hari-hari untuk diambil keterangan, sidang sedia dibuat. Semua akaun-akaun bank dibekukan. Berkotak-kotak dokumen dipunggah. Jongkong emas menjadi bualan hangat.

“Begitu juga dengan (kes) Fashion Valet. Persoalan timbul di media sosial, terus disambar maklumat itu dan siasatan penuh dimulakan. Berkumpul wartawan di pintu hadapan ibu pejabat SPRM menunggu peluang kemunculan Vellfire atau kereta-kereta mewah lain pemilik syarikat yang didakwa mungkin terlibat dalam kerugian pelaburan dana Khazanah serta Pemodalan Nasioan Berhad.

“Tidak lupa juga bagaimana SPRM begitu komited dalam menyiasat Tun Daim Zainuddin serta keluarga. Bangunan di tengah Kuala Lumpur disita, akaun-akaun dibekukan dan berkerusi roda suspek ke mahkamah,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan SPRM yang masih menunggu untuk isu yang dikatakan mempunyai ‘bukti hidup’ seperti rakaman.

Sedangkan jelasnya, SPRM berkuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ( Akta 694) bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap kes berkenaan.

“Difahamkan bahawa pemberi maklumat ingin mendapatkan perlindungan, maka pihak SPRM mesti proaktif. Tiada guna hanya komited dalam sesetengah kes, tetapi longlai dan layu dalam kes lain.

“Isu rasuah ini bukan isu main-main. Bukankah kerajaan hari ini jauh lebih komited tentang isu tatakelola ketimbang kerajaan-kerajaan dulu?” soalnya yang turut menyenaraikan seksyen-seksyen yang membolehkan SPRM mengambil tindakan segera.

Antaranya, katanya, SPRM juga mempunyai kuasa untuk memintas perhubungan yang bermakna boleh memintas , mendengar dan rekodkan apa-apa perbualan telekomunikasi atau telefon jika disyaki ada unsur rasuah atau salahguna kuasa.

“Ini bukan novel perisik tetapi Seksyen 43 Akta SPRM. Malah, peguam juga tidak terlepas. SPRM diberi kuasa dalam Akta 694 untuk mendapatkan perintah mahkamah mengarah peguam supaya dedahkan maklumat apa-apa transaksi atau urusan yang berhubungan harta-harta yang boleh disita.

“Seksyen 47 pula menyatakan ada obligasi di sisi undang-undang untuk seseorang itu memberikan maklumat,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa pegawainya telah bertemu peguam pemberi maklumat itu pada 30 Okt dengan hanya klip video berdurasi 17 saat “orang bercakap tentang wang” dimainkan.

Sambil menggesa pemberi maklumat itu untuk tampil ke hadapan, dia berkata SPRM tidak boleh memberikan jaminan bertulis bahawa dia tidak akan disiasat atau didakwa.

Azam menegaskan bahawa undang-undang menyatakan bahawa apabila individu itu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi di bawah undang-undang tetapi ini boleh dibatalkan jika dia didapati terlibat dalam kesalahan itu.

Leave a Comment