BTS Media

Anak Tengku Muda Pahang dihadapkan ke mahkamah

KERABAT diraja Pahang Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau, bulan Jun lalu.

Pertuduhan itu dibuat kira-kira dua bulan selepas sebuah portal berita Malaysiakini melaporkan dakwaan serangan terhadap pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan Alias Awang, 44.

Anak Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah itu dituduh bersama Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39, Mohd Fouzi Md Nur, 44, Mohd Taufik Daud, 44, dan Khairul Azhar Rosli, 38.

Tengku Abdul Rahman ialah adik kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Akhbar NST melaporkan salah seorang tertuduh adalah anggota polis, tetapi tidak menyebut yang mana satu.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, lapor media.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama mencederakan paha Alias menggunakan pisau di kawasan lot tanah bangsal kuda, Jalan Teluk Sisek di Kuantan pada 6 Jun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda, disebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Pahang Shahrizat Ismail di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

ALIAS Awang

Malaysiakini pada 5 September lalu melaporkan seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan orang didakwa menyerang dan mencederakan Alias menggunakan pisau.

Nama Eddy tidak didedahkan ketika itu kerana dia belum dituduh di mahkamah.

Alias mendakwa seorang rakan kerabat itu menikam pahanya manakala kerabat itu pula menembak ke arah kakinya tetapi tersasar.

Bapa kepada lapan orang anak itu mendakwa dia diserang susulan pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin, yang dia terlibat dalam pembinaan jalan di situ.

Ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, polis berkata menyiasat kes itu dari setiap sudut, tetapi tidak menyatakan dengan jelas sama ada siasatan turut menjurus kepada penggunaan senjata api.

Kes itu turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menggesa polis bertindak tegas kerana tiada sesiapa yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/725163

Leave a Comment