DALAM konvensyen BN di Pahang, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia tidak melupakan Najib Razak dan akan terus berusaha membebaskannya.
Bagaimanapun bekas menteri Umno Zaid Ibrahim nampaknya tidak yakin dengan perkara itu.
Bekas menteri undang-undang itu mendakwa Umno sebenarnya sudah melupakan Najib.
“Kawan ini, dia selalunya masa kita ada kuasa. Kita ada benda, dia ramai kawan.
“Tapi bila kita dah tak ada apa-apa, semua hilang,” katanya yang mendakwa Umno cuma berpura-pura mengambil berat tentang Najib.
Dalam podcast terbaharunya hari ini, Zaid membandingkan keadaan itu bila pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berdepan tuduhan mahkamah.
Katanya, penyokong Anwar percaya pertuduhan terhadapnya adalah palsu dan ia sebahagian daripada konspirasi politik.
“Tetapi dalam kes Najib, malang.
“Walaupun banyak perkara-perkara yang boleh menjadi isu, menjadi naratif, bahawa Najib bukan seperti yang digambarkan, terlibat secara langsung menipu, kerana ada unsur-unsur lain yang boleh diketengahkan, tapi Umno tidak ketengahkan.
“Jadi Umno menerima bahawa dia bersalah daripada awal,” kata Zaid.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 2 Dis bagi Najib membela diri terhadap pertuduhan dalam kes berprofil tinggi 1MDB setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Najib kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/724571