Oleh Yusoff A. Shariff
PERKHIDMATAN feri ke Langkawi dari Kuala Kedah akan beroperasi semula esok (22 Sept) selepas terhenti beberapa hari akibat ribut, angin kencang dan laut bergelora.
Sembilan perjalanan telah dirancang, lima dari Langkawi ke Kuala Kedah dan empat dari Kuala Kedah ke Langkawi.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca dan angin di laut.
“Kami merancang lima perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah esok bermula pukul 10.30 pagi, 12 tengah hari, 1.30 petang, 3 petang dan 4 petang.
“Bagi perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi, empat perjalanan dijadualkan pada pukul 1.30 petang, 3 petang, 4.30 petang dan 6 petang,” kata pengurus besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom hari ini.
Sejak Selasa lalu (19 Sept), semua perjalanan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah telah dibatalkan kerana laut bergelora dan angin kencang susulan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Berikutan itu, pihak berkuasa memutuskan untuk menutup Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah sehingga Sabtu (21 Sept). Buat sementara itu perjalanan hanya boleh dilakukan dari Kuala Perlis.
-BTS Media