MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kali kedua bekas ADUN Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim untuk menyekat pilihan raya kecil negeri (PRK) hari Sabtu ini.
Mahkamah itu menolak permohonan injunksi Azizi berkaitan saman utama berdasarkan pemberhentian keahliannya sebagai ahli parti Bersatu, justeru menyebabkan speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong.
Hari penamaan untuk kerusi tersebut berlangsung pada 3 Ogos, dan kempen pilihan raya sedang berlangsung.
Pada 27 Jun lalu, mahkamah sivil menolak percubaan awal Azizi untuk menyekat PRK itu, sementara menunggu penyelesaian saman utamanya terhadap Bersatu.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain pagi ini memutuskan bahawa undang-undang tidak membenarkan injunksi terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang menjalankan fungsi penting dalam proses demokrasi.
Beliau mendapati Azizi gagal memenuhi keperluan bagi mahkamah membenarkannya memperoleh injunksi sementara berkenaan.
Mahkamah, seterusnya berkata permohonan injunksi itu menimbulkan isu perlembagaan yang lebih sesuai ditangani dalam saman pemula utama.
Tambahnya, Azizi boleh menawarkan dirinya sebagai calon pada hari penamaan calon, tetapi tidak berbuat demikian.
“Kegagalannya menawarkan diri sebagai calon bermakna dia tidak lagi berminat untuk bertanding di kerusi Nenggiri,” kata Roz Mawar.
Beliau berkata, pilihan raya kecil adalah bertujuan untuk menentukan kehendak bebas rakyat menerima atau menolak plaintif (Azizi) yang mewakili mereka,” kata pesuruhjaya kehakiman itu.
Roz Mawar kemudian memerintahkan Azizi membayar RM30,000 kepada defendan iaitu SPR, Speaker DUN Kelantan dan Bersatu.
Mahkamah sivil kemudian menetapkan 18 Dis untuk mendengar tuntutan utama Azizi berasaskan pemberhentian keahlian Bersatunya.
Peguam Rajan Navaratnam mewakili Azizi. Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili SPR.
-BTS Media