Oleh Yusoff A. Shariff
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) telah mengeluarkan penjelasan berhubung isu viral presidennya, Tan Sri Norza Zakaria, membawa keluarganya ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.
Menurut portal berita Majoriti, isu itu timbul selepas dakwaan Norza membawa keluarganya ke acara tersebut, dan memberikan mereka kad akreditasi sementara, manakala beberapa atlet menghadiri acara tanpa pasukan sokongan mereka.
Ini menimbulkan kekecohan dalam kalangan peminat sukan negara, khususnya penyokong badminton selepas dilaporkan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia dinafikan kehadiran ahli fisioterapi dan pasangan sparring, serta jurulatih pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei, Nova Armada, tidak dapat bersamanya di Paris.
Menurut laporan terbaharu sebuah portal, Norza berkata beliau mempunyai kuota khas sebagai presiden MOM untuk membawa tetamu ke acara itu tanpa menjejaskan peruntukan bagi atlet dan pegawai.
Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan setiap presiden dan setiausaha agung majlis Olimpik negara yang mengambil bahagian membawa tetamu mengikut kapasiti mereka.
Selain itu, Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelaskan perbelanjaan tetamunya tidak melibatkan dana kerajaan.
“Saya mempunyai kuota khas, dan ia tidak mengganggu kuota yang diberikan kepada atlet.
“Kad akreditasi untuk tetamu tertakluk kepada pelbagai batasan, khususnya mengenai akses ke tempat pertandingan dan perkampungan atlet.
“Paling penting, ia tidak menggunakan dana kerajaan,” kata Norza yang dipetik portal itu.
-BTS Media