BTS Media

Langkawi tak boleh eksklusif destinasi pelancongan Islam

DENGAN alasan bahawa Malaysia negara berbilang kaum, maka sesuatu lokasi pelancongan tidak boleh memenuhi keperluan hanya satu agama secara eksklusif, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.

Ini respons beliau ketika memohon maaf atas kenyataan timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan, bahawa Langkawi elok dijadikan destinasi percutian bercirikan Islam.

Dalam respons melalui Facebook, Tiong berkata beliau berada di luar negara ketika itu dan Khairul mungkin tidak menjelaskan perkara tersebut dengan baik..

Beliau berkata kementerian mahu memupuk persefahaman dan rasa hormat dalam kalangan semua rakyat Malaysia, termasuk pelancong luar bagi membolehkan mereka menghayati pelbagai warisan budaya di negara ini.

Pada 24 Jun lalu, Khairul memberitahu Dewan Rakyat bahawa Langkawi boleh dijadikan “destinasi pilihan Muslim” untuk bersaing dengan pulau-pulau lain di rantau ini bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).

Beliau berkata satu cara untuk Malaysia bersaing dengan negara lain adalah dengan memberi tumpuan kepada sektor khusus.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, sama ada pendekatan yang diambil kerajaan negeri tertentu dalam mengenakan dasar “tidak mesra pelancong”, seperti melarang meminum alkohol dan pemakaian seluar pendek, kononnya boleh menjejaskan kejayaan VMY2026.

Khairul tampil mempertahankan hak negeri yang mengenakan peraturan sedemikian ke atas pelancong, dengan mengatakan mereka masih boleh memenuhi pasaran khusus.

Merujuk kepada Langkawi, beliau berkata pulau itu boleh dijadikan destinasi pelancong Islam.

Khairul berkata Langkawi mungkin terpaksa bersaing dengan pulau-pulau lain di rantau ini, dan pihaknya sedang mempertimbang untuk menjadikan Langkawi destinasi pilihan Muslim, justeru lebih sesuai untuk keluarga dan aspek pelancongannya kerohanian.

Beliau berkata kementerian telah berhubung dengan kerajaan negeri yang menguatkuasakan peraturan tertentu, tetapi mendapati “keadaannya baik dan terkawal”.

Pada bulan September lalu, Tiong dilaporkan berkata bahawa pelancong mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi kerana kononnya mengganggu mengenai etika berpakaian dan pengambilan alkohol.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menyangkal dakwaan Tiong, dan menyifatkan apa yang didakwa itu sebagai tidak berasas.

Sanusi berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk menjadikan Langkawi destinasi mesra Muslim, dan tiada larangan memakai seluar pendek di pulau itu.

Pengerusi kebangsaan DAP Lim Guan Eng meminta Khairul menarik balik kenyataannya kerana mendakwa telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan industri pelancongan di pulau itu yang disifatkannya sebagai destinasi percutian antarabangsa.

-BTS Media

Leave a Comment