BTS Media

Bersatu: Speaker Dewan Rakyat mesti umum enam kerusi kosong

SPEAKER Dewan Rakyat Johari Abdul mesti mengumumkan kekosongan enam kerusi dipegang oleh ahli parlimen Bersatu yang berpaling tadah menyokong Anwar Ibrahim.

Ini susulan Bersatu bertindak menamatkan keahlian mereka.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan dalam post Facebook berkata, dalam hal ini Johari perlu memastikan kesinambungan pelaksanaan peraturan di kedua-dua dewan parlimen.

Menurutnya, berpandukan peraturan undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan Persekutuan, kerusi yang disandang menjadi kosong apabila seseorang wakil rakyat digugurkan keahlian mereka daripada parti.

Beliau berkata, “Mewujudkan satu precedent (duluan) dalam negara yang mana apabila dikosongkan kerusi di Kelantan, maka di peringkat Dewan Rakyat tidak ada alasan untuk mengatakan kerusi mereka tidak kosong.

“Saya yakin Tan Sri Johari mahu dikenali sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip kebebasan badan legislatif berbanding badan eksekutif serta bebas daripada pengaruh parti-parti politik.

“Dengan prinsip itu, saya pasti Tan Sri Johari pun faham dan sedar bahawa beliau tidak ada pilihan untuk mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat itu, kosong juga,” katanya.

Wan Saiful berkata sekiranya duluan ini tidak dihormati atau tidak dituruti dari segi keseragaman, ia mungkin akan menimbulkan krisis Perlembagaan yang serius.

Beliau merujuk kepada tindakan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah hari ini, yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis di bawah fasal (3) Perkara 31A Undang-undang Tubuh Negeri daripada penyandang kerusi tersebut, Mohd Azizi Abu Naim, pada 13 Jun.

Sehubungan itu, Mohd Amar berkata Bersatu pada 12 Jun lalu telah memaklumkan bahawa keahlian Azizi telah ditarik balik dan seterusnya kerusinya menjadi kosong.

Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, adalah antara tujuh ahli parlimen Bersatu yang digugurkan keahliannya kerana menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat lain ialah Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Adun Klang Abdul Rashid Asari .

Sebelum ini, Bersatu telah meminda perlembagaan parti itu untuk menetapkan mana-mana wakil rakyat yang berpaling tadah secara automatik tergugur keahlian mereka.

Tindakan itu juga akan menyebabkan undang-undang anti-lompat parti berkuat kuasa mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan kerusi merek perlu dikosongkan.

-BTS Media

Leave a Comment