AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Wan Saiful Wan Jan mengkritik Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil susulan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar bagi tahun ini.
Dalam kenyataan di Facebook, Ketua komunikasi PN Wan Saiful itu juga mempersoalkan kedudukan Malaysia di tangga ke-107 yang didakwanya lebih teruk berbanding Israel di kedudukan ke-101.
“Bagi saya, Fahmi telah memalukan negara kerana kedudukan Malaysia di tangga ke-107 hanyalah baik sedikit saja berbanding Burundi (108), Mongolia (109) dan Zimbabwe (116).
“Fahmi tidak boleh dibiar memutarbelitkan kata-kata untuk mencipta alasan kenapa situasi ini berlaku. Fahmi mesti mengambil tanggungjawab dan mengakui bahawa dia telah menjahanamkan kebebasan media di Malaysia.
Semalam, pertubuhan Reporters Without Borders (RSF) mengeluarkan Indeks Kebebasan Akhbar 2024, yang menunjukkan Malaysia merosot 34 tangga berbanding kedudukan ke-73 pada tahun lepas.
Malaysia mencapai skor 52.07 berdasarkan lima indikator: politik (44.35), ekonomi (45.63), perundangan (34.04), sosial (52.62), dan keamanan (83.72).
Untuk pertama kalinya dalam tiga tahun, Malaysia tidak lagi menduduki peringkat teratas di antara negara-negara ASEAN setelah diatasi oleh Thailand dengan skor 87.
Berdasarkan indeks tersebut, keadaan timbul akibat tindakan menghalang akses ke laman berita yang mengkritik kerajaan, seperti yang berlaku  terhadap portal UtusanTV dan juga MalaysiaNow, dan beberapa laman berita lain.
Menurut Wan Saiful, penurunan tersebut menunjukkan bahawa janji kerajaan untuk memelihara kebebasan akhbar adalah tidak benar.
Beliau berkata, pada 2023 indeks kebebasan akhbar Malaysia melonjak ke tangga ke-73 hasil usaha kerajaan PN pada tahun sebelumnya, manakala laporan 2024 adalah penilaian terhadap setahun penuh kerajaan PH-BN, terutama prestasi Fahmi Fadzil sebagai menteri yang bertanggungjawab sepanjang tempoh kajian dijalankan.
“Hasil kerja Fahmi sepanjang 2023 menjahanamkan hasil kerja sebelumnya sehingga kedudukan Malaysia merudum begitu teruk.
-BTS Media