SEBUAH kedai serbaneka di Presint 3, Putrajaya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam, kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan ‘Tiada Minyak Sawit’ (NPO) pada bungkusan plastik produk itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata serbuan yang bermula pukul 11.45 pagi itu berikutan aduan awam, dan hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui pelbagai perisa produk aiskrim dengan perkataan NPO.
“Kesemua produk aiskrim bernilai RM897.60 itu telah dirampas untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Kenyataan, Ungkapan atau Indikasi) (Kelapa Sawit dan Barangan Minyak Sawit) 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jika sabit kesalahan, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Menurut Armizan, peraturan itu berkuat kuasa pada 15 Mac 2022.
Berdasarkan statistik penguatkuasaan dari 15 Mac 2022 hingga 2 Mei 2024 di bawah perundangan tersebut, beliau berkata sebanyak 5,057 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara ke atas premis di pelbagai peringkat rantaian pengedaran dan daripada jumlah itu, KPDN mendapati empat kes, lapor Bernama.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan menjual produk import dari luar negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan,” katanya.
Armizan berkata, jenis kesalahan itu termasuk kenyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang boleh mendiskriminasi atau memboikot mana-mana produk atau barangan yang melibatkan komoditi utama negara iaitu minyak sawit.
-BTS Media