BTS Media

Badan Peguam cabar keputusan Lembaga Pengampunan pengurangan hukuman Najib

MAJLIS Peguam Malaysia telah memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar Lembaga Pengampunan berhubung keputusannya mengurangkan separuh hukuman penjara bekas Perdana Menteri Najib Razak bagi sabitan rasuah SRC International.

Pada 16 Mac, usul (untuk memfailkan semakan kehakiman) diluluskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam Malaysia ke-78.

Presiden Badan Peguam Malaysia yang baharu dilantik Mohamed Ezri Abdul Wahab berkata 238 ahli menyokong usul itu, dengan seorang membantah.

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan denda Najib serta mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun kepada enam.

Ini bermakna bekas perdana menteri itu akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa mengenai pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd, serta masing-masing tiga pertuduhan kerana pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC.

Dia juga didenda RM210 juta. SRC ialah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada 19 Okt tahun yang sama, Najib memfailkan petisyen rayuan mengandungi 307 alasan rayuan mengapa dia harus dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes SRC.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan itu.

Bekas ahli Parlimen Pekan berusia 70 tahun itu masih menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

-BTS Media

Leave a Comment