Oleh Yusoff A. Shariff
PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa rakyat Palestin bersatu menentang Israel di Gaza.
Gesaan dibuat selepas rundingan dua jam dengan Hamas Ismail Haniyeh di Istanbul semalam, kata pejabatnya.
Media Turki melaporkan bahawa semasa rundingan yang diadakan di Istana Dolmabahce, di tebing Selat Bosphorus itu Erdogan berkata perpaduan Palestin adalah penting
“Respons paling kuat terhadap Israel dan jalan menuju kemenangan terletak pada perpaduan dan integriti,” kata Erdogan, menurut kenyataan pejabat presiden Turki itu.
Hamas dilabelkan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Israel.
Ketika kebimbangan mengenai perang serantau yang lebih luas semakin meningkat, Erdogan berkata rentetan perkembangan baru-baru ini antara Iran dan Israel tidak seharusnya menguntungkan Israel.
Katanya, ia juga tidak sepatutnya memberikan kelebihan kepada pihak Zionis, dan dalam keadaan demikian adalah penting bagi perhatian terus dikekalkan mengenai Gaza.
Menteri Luar rejim haram Israel Israel Katz yang menulis dalam ‘X’ mengecam pertemuan itu.
Beliau sebaliknya menghamburkan pelbagai tuduhan palsu berhubung tindak balas Hamas demi kedaulatan tanah Arab Gaza dan Palestin.
Menjawab respons Katz, jurucakap kementerian luar Turki Oncu Keceli menulis melalui X bahawa sebenarnya pihak Zionis Israel yang patut berasa malu kerana membunuh lebih 35,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Qatar berkata negara itu akan mengkaji semula peranan sebagai orang tengah antara Hamas dan Israel. Sehubungan itu, Erdogan telah menghantar Menteri Luar Turki, Hakan Fidan ke Doha pada hari Rabu sebagai tanda baharu bahawa beliau mahukan peranan.
“Saya akan teruskan selagi Allah mengekalkan nyawa saya, untuk mempertahankan perjuangan Palestin dan menjadi suara rakyat Palestin yang tertindas,” kata presiden itu pada hari Rabu ketika mengumumkan lawatan Haniyeh.
Hamas mempunyai pejabat di Turki sejak tahun 2011, setelah negara tersebut mendapatkan persetujuan untuk kumpulan itu membebaskan anggota tentera Israel Gilad Shalit. Sejak itu, Erdogan telah mengekalkan hubungan dengan Haniyeh.
Jika Qatar menarik diri sebagai perantara, Turki boleh berusaha untuk meningkatkan profilnya berdasarkan hubungannya dengan Hamas.
Fidan pada hari Sabtu mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry di mana mereka menekankan keperluan untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada Gaza yang mengalami kebuluran dan kemusnahan dahsyat.
Turki adalah antara sekutu utama Palestin yang memberikan bantuan kemanusiaan kepada Gaza, dengan penghantaran sebanyak 45,000 tan bekalan dan ubat-ubatan ke wilayah terjejas itu.
Sementara itu, Israel pula terus tegar dan dilaporkan sedang bersiap untuk menyerang bandar Rafah di Gaza di mana puluhan ribu pelarian Gaza sedang berlindung.
Terdahulu, Israel dilaporkan telah melancarkan serangan ke atas wilayah Isfahan di Iran selepas serangan amaran Iran menggunakan lebih 300 peluru berpandu terhadap wilayah Israel.
Tindakan itu dilihat sebagai menjejaskan harapan untuk mencapai kedamaian di Timur Tengah.
Tahun lalu, Erdogan mengecam Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan menyifatkannya sebagai sama dengan perangai pemimpin Nazi, Adolf Hitler.
Beliau dengan lantang menggelar Israel sebagai “negara pengganas” kerana serangannya terhadap Hamas selepas operasi kumpulan pejuang itu ke atas Israel pada 7 Oktober.
-BTS Media