Oleh Yusoff A. Shariff
MEMUAT naik post mendedahkan mereka yang enggan boikot jenama dikaitkan dengan Israel melalui media sosial bagi tujuan mengaib dan memalukan mereka adalah melanggar undang-undang privasi.
Ini dinyatakan oleh seorang peguam selepas penyebaran gambar yang menunjukkan rangkaian makanan segera seperti McDonald’s dan KFC sibuk dengan pelanggan semasa Hari Raya Aidilfitri.
Sesetengah pengguna media sosial terlalu mudah melabelkan pelanggan yang mengunjugi kedai-kedai tersebut sebagai “anjing”, lapor FMT.
Sehubungan itu, peguam Bastian Pius Vendargon berkata mereka yang dimangsakan boleh mengambil tindakan sivil kerana ia adalah “hak yang diiktiraf” di Malaysia.
Selain itu, mereka juga boleh memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang berbuat demikian.
Beliau berkata, sekiranya post itu menggambarkan secara tidak benar bahawa individu dalam gambar atau video yang tular terlibat melakukan sesuatu yang menjijikkan atau mencemarkan nama baik mereka di mata masyarakat umum, maka ia boleh menjadi fitnah.
Oleh yang demikian, beliau berkata post tersebut mungkin telah melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), justeru membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hak untuk memulakan prosiding jenayah.
“Jika post berkenaan berisiko mencetuskan keganasan atau menggangu keamanan, maka ia termasuk dalam Akta 588. Itu adalah penyalahgunaan media,” katanya.
Sebagai contoh, Seksyen 233 Akta 588, menjadikan satu jenayah jika memuat naik kandungan “lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perwatakan dengan niat untuk menjengkelkan, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu orang lain”.
Menurut peguam itu, di Kuantan, Pahang baru-baru ini telah berlaku keganasan fizikal atau ancaman keganasan fizikal berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, tindakan itu telah melampaui batas kewajaran.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki mendakwa bahawa sekumpulan lelaki telah menghinanya ketika dia mengunjungi ke sebuah restoran McDonald’s bersama keluarganya. Mangsa berkata dia telah diugut akan dipukul dengan topi keledar susulan tindakannya makan di premis berkenaan.
Sehubungan itu, lima orang telah ditahan dan disiasat kerana melakukan ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam Baljit Singh Sidhu berkata bahawa mengambil gambar pelanggan di kedai tanpa kebenaran mereka adalah salah dan melanggar privasi mereka.
Beliau berkata satu lagi kebimbangan mengenai video ini ialah paparan wajah kanak-kanak di bawah umur, yang boleh dikira melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.
Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan larangan melaporkan maklumat atau berita membabitkan kanak-kanak.
“Identiti kanak-kanak tidak boleh didedahkan, ini adalah satu pelanggaran. Tindakan boleh diambil oleh menteri kebajikan,” katanya merujuk kepada menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Nancy Shukri.
“Tindakan memuatnaik post-post sebegini adalah perkara yang mesti dipantau oleh pihak berkuasa. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa kawalan.”
-BTS Media