Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mencadangkan rakyat menggantikan nasi dengan sumber karbohidrat lain seperti ubi kayu, sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.
Beliau berkata, ubi kayu dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sebagai sumber karbohidrat disebabkan khasiatnya yang lebih tinggi berbanding beras.
“Kalau beras menjadi isu, apa tujuan kita makan beras…untuk dapatkan karbohidrat. Saya rasa ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras, iaitu makan ubi kayu.
“Saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, di negeri itu (Sarawak) tanam ubi kayu yang digunakan sebagai makanan tambahan, sebab khasiat ubi kayu hebat dibandingkan gula yang ada dalam beras,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, Sungai Petani, bersama Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Katanya, langkah itu boleh menyelamatkan rakyat daripada terbelenggu dengan isu beras melanda negara.
Rakyat di negara ini, tambahnya, mempunyai potensi sangat besar untuk menghasilkan sumber makanan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada bekalan makanan import.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan peluang kepada rakyat untuk mengusahakan tanah terbiar bagi menanam pelbagai sumber makanan.
“Kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara ini amat hebat, kira-kira setahun lalu kita import dalam bajet hampir RM60 bilion…ini satu jumlah besar, tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan bahawa BPT masih tidak tersedia di pasaran, walaupun setelah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkannya diedar ke seluruh negara.
Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, dalam tinjauannya ketiga pasar raya di Kota Kemuning, Shah Alam sebelum ini, didapati hanya beras putih import (BPI) yang dijual.