GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli dari Pos Blau, di sini, sanggup menempuh perjalanan hampir 100 kilometer (km) menggunakan motosikal untuk membeli beras putih tempatan kerana mendakwa harga makanan ruji itu yang dijual di kampungnya mahal.
Anglah Angah, 41, dari Kampung Kelaik, mendakwa harga beras di perkampungannya lebih RM50 bagi 10 kilogram (kg), manakala paket 5kg dijual pada harga RM20.
“Selain itu, harga 1kg gula pula RM5. Ahli keluarga saya lapan orang, jadi 10kg beras hanya boleh tahan seminggu,” katanya.
Dia juga mendakwa, barang keperluan asas lain seperti gula dan minyak masak turut mahal.
“Saya faham harga lebih mahal kerana peruncit juga membeli dengan harga tinggi di bandar dan sudah pastilah mereka pun nak untung,” katanya ketika ditemui.
Anglah berkata, dengan pendapatannya menjual hasil hutan seperti buluh, kenaikan harga barangan sangat dirasakan.
“Kami masyarakat Orang Asli semakin terhimpit dan tertekan dengan kenaikan harga barang. Jika dulu kami boleh bergantung kepada ubi kayu, kini kawasan kebun kami sudah menjadi ladang durian Musang King,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun, mengakui menerima rungutan dan aduan daripada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman.
“Kami ambil maklum akan aduan mereka dan sudah mengajukan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan susulan,” katanya.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/10/1162200/tunggang-motosikal-100km-nak-beli-beras