BTS Media

Penjawat Awam, pesara dapat duit raya

KERAJAAN hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di PUSPANITAPURI, Putrajaya hari ini.

Pada 15 Mac lalu di Ipoh, Presiden CUEPACS Adnan Mat mengulangi gesaan supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Adnan berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu.

Insentif itu katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah melegakan kelompok peniaga.

“Kami merayu supaya kerajaan mengumumkan dalam waktu yang terdekat ini, kerana ada keluh kesah peniaga di luar sana apabila penjawat awam kurang ‘purchasing power’.

“Sekurang-kurangnya dengan ada bantuan khas Aidilfitri, bukan sahaja penjawat awam (terima manfaat), tetapi untuk peniaga di bazar Aidilfitri yang memerlukan pembeli yang mampu membeli barangan mereka.

“Jika kami tidak ada kelebihan, maka kami tidak mampu membeli (dan mewujudkan) pusingan ekonomi kepada peniaga,” katanya.

23 Februari penjawat awam dapat RM2,000

Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak sebelum ini sudah menerima bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 yang disalurkan pada 23 Februari ini.

Semalam, kerajaan Pahang mengumumkan khabar gembira kepada kira-kira 8,000 penjawat awamnya apabila bersetuju memberikan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM1,000.

Kerajaan Johor pula mengumumkan bantuan khas Aidilfitri setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 kepada penjawat awamnya.

Leave a Comment