BTS Media

Penangkap ikan sungai kesal, syak berlaku kegiatan bom ikan di Gerik

SEKUMPULAN lelaki dipercayai terlibat dalam pengeboman ikan apabila banyak ikan mati ditemukan di kawasan hutan Gerik, Perak pada hari Jumaat lalu.

Seorang nelayan dikenali sebagai Faizal berkata, pada mulanya dia bersama lapan rakannya datang ke kawasan hutan untuk memancing dan beriadah, lapor Sinar Daily.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka tidak mendapat hasil seperti yang diharapkan, sebaliknya menemui beberapa bangkai ikan air tawar di atas batu berhampiran sungai.

“Biasanya kalau memancing di situ, selalu dapat ikan, tetapi pada hari kejadian tiada langsung. Jadi, kami naik ke kawasan yang lebih tinggi sedikit dan mendapati banyak ikan yang baru mati kerana matanya masih jelas.

“Kami berasa kecewa kerana perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam untuk sampai ke sungai ini tetapi tidak membuahkan hasil, dan kami juga mendapati banyak organ dalaman ikan dihanyutkan.

“Tidak lama selepas kami pulang, saya menerima video melalui kumpulan WhatsApp beberapa individu berseronok dengan hasil tangkapan di tempat saya memancing tadi, dan saya mengesyaki mereka menggunakan bom. Kerana marah, saya terus memuat naiknya di Facebook,” katanya pada hari semalam.

Sebelum ini, tular sebuah video menunjukkan sekumpulan lelaki mempamerkan hasil tangkapan besar ikan seperti kelah, tengas dan ikan mas di kawasan sungai dalam hutan.

Susulan itu pada hari Isnin, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menyiasat kegiatan sekumpulan lelaki yang dikatakan menangkap ikan secara salah dan mencurigakan.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Adnan Hussain berkata, siasatan dijalankan pihaknya termasuk mengenal pasti lokasi, tarikh kejadian dan individu terbabit.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, dia menerima beberapa panggilan dan mesej WhatsApp daripada pemilik video memintanya memadamkannya dengan mendakwa ia hanya salah faham.

Ekoran itu, Faizal membuat laporan polis bagi melindungi dirinya di Balai Polis Kulim Hi-Tech Park, Kedah pada petang Ahad.

“Rakan-rakan saya juga membuat laporan polis di Gerik, Perak berhubung isu ini, dan kita juga melaporkan isu ini ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan DOF.

“Kita harap ada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa kerana ia ia kesalahan serius,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment