Oleh Yusoff A. Shariff
WALAUPUN sebahagian besar negara di dunia masih belum dapat menikmati sepenuhnya liputan 5G, China kini telah pun melancarkan satelit untuk menguji sistem 6G pertama dari angkasa lepas.
Walau bagaimanapun, rangkaian itu dijangka hanya akan mula beroperasi menjelang tahun 2030.
Sistem tersebut dikendalikan oleh syarikat telekomunikasi China, China Mobile yang merupakan pengendali sistem mudah alih terbesar dunia dari segi bilangan pelanggan, lapor akhbar China Daily.
Dilancarkan ke orbit bumi rendah, kira-kira 500 kilometer dari bumi, satelit ini adalah yang pertama membawa perkakasan 6G, yang dibangunkan oleh China Mobile dengan kerjasama Akademi Sains China.
Kedudukan orbit bumi rendah satelit ini direka untuk memastikan pemindahan data yang pantas dan latensi rendah berbanding satelit pada jarak 36,000 kilometer dari planet kita.
Dengan pelancaran sistem 6G ini, segala kelemahan sistem sedia ada akan dapat diatasi.
Projek eksperimental ini dilancarkan selari dengan matlamat untuk mengkomersialkan kaedah liputan tersebut di China dan Korea Selatan pada tahun 2030.
Setakat ini difahamkan bahawa 6G yang menawarkan kelajuan sehingga 1TB setiap saat dengan latensi sifar sesuai untuk IoT (Internet of Things) kerana berupaya mengesan dan menghubungkan pelbagai peranti atau kenderaan dalam radius tertentu.
-BTS Media