Oleh Zainal AS Rashid
SEBARANG pengumuman penting kerajaan sepatutnya hanya dibuat selepas keputusannya telah dimuktamadkan.
Presiden MCA Dr Wee Ka Siong berkata dengan membuat pengumuman awal ia hanya akan menimbulkan kekeliruan dan persoalan dalam kalangan orang ramai. “Nasihat saya kepada mereka (kerajaan) jangan umumkan sesuatu yang masih belum dimuktamadkan.
“Biarlah keputusan muktamad dibuat terlebih dahulu, baru diumumkan.
“Jangan kemudian mengatakan ia hanya perancangan selepas dikritik orang ramai. Kerosakan telah berlaku.
“Ia juga sangat mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Ayer Hitam di bangunan MCA Yong Peng di Jalan Templer, Yong Peng pada hari Jumaat (16 Feb).
Dr Wee berkata demikian apabila ditanya mengenai beras putih Malaysia Madani seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal, lapor Malay Mail.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Lokman Hakim Ali berkata perkara itu memerlukan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Lokman berkata, setakat ini, ia kekal sebagai inisiatif peribadi Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal, yang menurutnya belum melalui “proses sewajarnya”.
Pada hari Rabu (14 Feb) lalu, Syed Abu Hussin berkata kerajaan akan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 untuk guni 10kg pada 19 Feb, yang dijangka boleh didapati di pasaran mulai 1 Mac.
Beliau berkata antara 19 Feb dan 1 Mac, pengusaha industri beras boleh membuat pelarasan dan menjual beras dalam bungkusan lama sehingga semua stok pemborong habis dijual.
-BTS Media