GAMBAR: Malaysiakini.
SEORANG peguam bersama anaknya dari Kelantan hari ini berjaya dalam permohonan mereka mendapatkan pembatalan daripada mahkamah tertinggi negara terhadap 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri terbabit.
Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.
Keluarga itu mencabar perlembagaan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Bagaimanapun, mahkamah tertinggi hanya membenarkan 16 daripada 18 itu tidak sah.
Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan haiwan (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).
Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).
Di sebalik menerima 16 permohonan pasangan anak-beranak itu mahkamah bagaimanapun menolak cubaan mereka membatalkan dua lagi peruntukan dalam enakmen sama.
Ia membabitkan penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlaknya (Seksyen 13), dan perkataan yang boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30).
Menurut Tengku Maimun badan perundangan Kelantan bertindak melebihi kuasa yang ada dengan menggubal enakmen bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Tengku Maimun sekali lagi mengingatkan apa yang dicabar oleh Nik Elin dan Tengku Yasmin itu bukan mengenai kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah di Malaysia.
Sebaliknya jelas Tengku Maimun, yang dipertikaikan ialah keabsahan perlembagaan terhadap 18 peruntukan enakmen Kelantan yang didakwa pempetisyen sebagai melanggar had kuasa negeri terbabit.
“Kuasa parlimen dan dewan undangan negeri dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan, dan mereka tidak boleh membuat sebarang undang-undang yang mereka suka,” kata Tengku Maimun yang membacakan keputusan bagi pihak majoriti.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/695775