BTS Media

Bagi sahaja peruntukan kepada Ahli Parlimen PN untuk bantu masa banjir, tanpa perlu runding

DUA Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Kelantan mendesak kerajaan supaya memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang semasa banjir di negeri pantai timur.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan ahli Parlimen Ketereh, Khlir Nor berkata kerajaan sepatutnya memberikan peruntukan tanpa syarat.

“Kenapa tidak ikut contoh kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Perlis yang memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang tanpa syarat?

“Jika ingin memberi peruntukan, buat saja tanpa perlu berunding,” katanya kepada FMT.

Lebih 20,000 penduduk di Kelantan telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat banjir.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM50 juta sebagai bantuan awal kepada mangsa banjir.

Peruntukan itu akan disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara terus kepada mangsa.

Khlir juga berkata beliau tidak akan berunding untuk mendapatkan dana walaupun berdepan cabaran dalam membantu mangsa banjir.

“Kami tidak boleh berunding dengan kerajaan kerana mereka akan mengambil kesempatan. Mereka berpolitik. Jika peruntukan itu untuk rakyat, sediakan sahaja dana tersebut.”

Beliau juga mendakwa bahawa kerajaan ingin Ahli Parlimen pembangkang bersetuju dengan syarat-syarat tertentu untuk menerima dana itu.

Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak untuk diberikan peruntukan yang sama dari Putrajaya untuk membantu rakyat dengan lebih berkesan.

Pada bulan September lalu, Anwar berkata ahli Parlimen pembangkang perlu berunding dengan kerajaan persekutuan jika mereka ingin mendapatkan peruntukan.

-BTS Media

Leave a Comment