KELUARGA penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Jalan Mantin-Beranang pada 20 Dis lalu bertekad mengambil tindakan undang-undang sekiranya keadaan jalan yang teruk didapati menjadi punca.
Bapa mangsa, Abdul Sani Md Yatim, 61, berkata mereka sekeluarga kini menunggu laporan polis menyeluruh berhubung kejadian itu sebelum memutuskan langkah seterusnya.
“Saya masih menunggu laporan kimia motosikal arwah (Mohamad Fitri Abdul Sani, 30), dan ada perkara lain yang perlu diselesaikan sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Menurutnya, walaupun sebelum ini polis berkata kemungkinan anaknya maut disebabkan langgar lari, namun saya sebagai bapa percaya kemalangan itu ada kaitan dengan keadaan jalan raya di lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi NST hari ini.
Abdul Sani berkata beberapa kejadian membabitkan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal di lokasi sama seolah-olah menjadi mangsa akibat jalan berlubang dan berlopak.
“Tindakan undang-undang mungkin akan ditujukan kepada kerajaan atau Jabatan Kerja Raya. Lebih-lebih lagi, saya berasa hairan selepas anak saya mengalami kemalangan tersebut pada sebelah pagi, Jabatan Kerja Raya segera membaiki jalan pada sebelah petang.
“Walaupun tidak dinafikan pemergian anak saya sudah ditakdirkan, namun jika memang kemalangan itu berpunca daripada jalan rosak, saya tidak boleh berdiam diri.”
Beliau seterusnya berkata tindakan undang-undang ini menjadi peringatan kepada pihak berkuasa agar lebih bertanggungjawab terhadap kerosakan jalan raya, bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara.
-BTS Media