BTS Media

Cadangan PM Melayu: Majlis Peguam kata hanya akan ‘kacau sarang tebuan’

MAJLIS Peguam Malaysia hari ini menyuarakan bantahannya terhadap sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menetapkan hanya satu kumpulan etnik boleh memegang jawatan perdana menteri.

Majlis tersebut menyifatkan cadangan itu sebagai tidak berperlembagaan di bawah doktrin struktur asas.

Sambil menyatakan kekecewaan, presidennya Karen Cheah berkata cadangan meminda perlembagaan akan hanya menghakis kepelbagaian budaya di Malaysia dan meletakkan kaum lain sebagai “warga kelas kedua” yang tidak layak untuk berkhidmat untuk negara.

Beliau merujuk kepada laporan Reid Commission berpandukan demografi berbilang kaum yang seterusnya dijadikan struktur asas dokumen tersebut.

Cheah berkata, gesaan untuk kononnya memberi mandat hak eksklusif orang Melayu Islam menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia harus dilihat sebagai percanggahan dengan prinsip perlembagaan .

Beliau berkata, sekiranya gesaan itu tidak ditangani, ia akan menjerumuskan negara ini ke amalan aparteid sepenuhnya.

Menurutnya lagi, Majlis Peguam mengambil maklum pengubahan dan penuturan semula  hujah-hujah berkaitan itu berikutan kenyataan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab oleh pihak-pihak tertentu.

Tambahnya lagi, kenyataan sebegitu tidak hanya akan ‘mengacau sarang tebuan’ demi kepentingan politik tertentu, memandangkan pihak berkenaan tidak berusaha untuk mengesahkan kenyataan tersebut berdasarkan perlembagaan.

-BTS Media

Leave a Comment