BTS Media

Wanita maut didakwa selepas makan sandwic basi

KUALA LUMPUR: Tular di media sosial berhubung dakwaan seorang wanita meninggal dunia selepas menjamah roti sandwic basi yang dibeli dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Terengganu, baru-baru ini.

Menurut perkongsian Sahara Nabilah di akaun Facebooknya, dia menceritakan keadaan ibu saudaranya yang keracunan makanan sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, untuk mendapatkan rawatan.

Dakwanya, ibu saudaranya ketika itu berada dalam keadaan kritikal sebelum diumumkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

“Mak cik (ibu saudara) saya baru saja meninggal dunia malam tadi. Datang dari Johor ke Terengganu untuk pendaftaran anak buat ke UNISZA (Universiti Sultan Zainal Abidin), singgah makan di R&R Perasing. (Dia) makan sandwic beli di R&R tersebut.

“Basi rupanya, kena keracunan makanan dua mangsa… Mak cik dan anak buah. Tetapi mak cik (dalam keadaan) yang teruk. Krikal, muntah dan berak tanpa henti. Masuk air, rebah.

“Masuk ICU (unit rawatan rapi) di (Hospital) Sultanah Zahirah dan meninggal malam tadi,” katanya dalam catatan di Facebook bertarikh 19 Disember lalu.

BH sudah menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapat penjelasan mengenai dakwaan itu, namun setakat ini belum menerima sebarang reaksi.

Mengulas lanjut perkembangan terkini arwah ibu saudaranya, Sahara berkata, jenazah selamat disemadikan di Johor Bahru.

Bagaimanapun, dia berharap akan ada tindakan susulan dari KKM berhubung nasib yang menimpa arwah ibu saudaranya.

“Alhamdulillah dipermudahkan urusan bawa balik jenazah ke Johor Bahru dan selamat dikebumikan.

“Insiden (berlaku) dalam masa dua hari saja. Amat dukacita. (Apa pun) berhati-hati apabila makan. Kepada peniaga, tolonglah bertanggungjawab sediakan makanan bersih dan jangan jual makanan berulang yang tak habis.

“Pihak hospital telah buat laporan kejadian kepada KKM. Semoga ada tindakan yang akan diambil,” katanya.

Leave a Comment