BTS Media

Portal Halal JAKIM digodam Sabtu lepas

PORTAL rasmi Halal Malaysia telah digodam pada hujung minggu lalu.

Susulan itu ia telah diletakkan “offline” buat sementara waktu.

Kejadian yang berlaku pada 9 Disember 2023 itu disahkan melalui laman Facebook Halal rasmi JAKIM.

Pada malam Sabtu lalu, JAKIM mengumumkan bahawa portal rasmi Halal tidak dapat diakses kerana masalah teknikal.

Pengguna yang ingin menyemak status Halal sesuatu produk atau premis dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi Verify Halal dan Smart Halal yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App Store.

Melalui laman Facebook jabatan, JAKIM berkata mereka juga telah meningkatkan langkah keselamatan portal tersebut untuk mengelakkan kejadian berulang.

Kenyataan itu berkata insiden keselamatan siber itu tidak menjejaskan proses pensijilan Halal di Malaysia dan industri masih boleh mengemukakan permohonan pensijilan mereka seperti biasa.

Pengguna masih boleh menggunakan aplikasi rasmi mereka untuk mengesahkan status halal produk atau premis.

Setakat waktu berita ini dilaporkan semalam, JAKIM dikatakan telah memulihkan akses kepada portal berkenaan, tetapi pengguna diminta menggunakan URL https://halal.gov.my/v4.

Menurut soyacincau, ini bukan kali pertama portal Halal JAKIM digodam. Pada bulan September lalu laman tersebut digodam dengan paparan laman perjudian dalam talian.

-BTS Media

Leave a Comment