Oleh Zainal AS Rashid
PIHAK berkuasa di Sabah telah mengeluarkan amaran berhubung pengutipan dan memakan kerang dari perairan Kota Kinabalu.
Notis yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Sabah mengesahkan satu kes “Paralytic Shellfish Poisoning” (PSP) di Daerah Kota Kinabalu, khususnya kawasan Teluk Likas.
Menurut kenyataan itu, sampel yang diuji didapati mengandungi tahap bahaya tinggi yang boleh memudaratkan tubuh.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengutip dan memakan kerang-kerangan dari kawasan itu.
“Jabatan Perikanan Sabah akan memantau perkembangan insiden PSP ini dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.”
PSP adalah masalah kesihatan yang serius disebabkan oleh pengambilan kerang yang tercemar dengan toksin berbahaya.
Antara gejalanya termasuk kesan neurologi ringan kepada gangguan pernafasan serius, dan dalam kes yang melampau, ia boleh membawa maut.
-BTS Media