GAMBAR ATAS: Photo by CEphoto, Uwe Aranas
Oleh Zainal AS Rashid
EMPAT ahli parlimen dan 15 ahli dewan undangan negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah yang keluar parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.
Ketua Kluster Tadbir Urus, Undang-Undang dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata tindakan mereka tidak termasuk di bawah undang-undang anti-lompat parti baharu, yang diluluskan pada 5 Okt.
Beliau berkata 15 ADUN itu tidak tertakluk kepada undang-undang tersebut sama sekali kerana ia hanya terpakai kepada Ahli Parlimen, dan lagi pun Sabah masih belum menggubal mana-mana undang-undang seumpama itu untuk ADUN.
“Bagi empat ahli parlimen, mereka bertanding di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang telah didaftarkan secara rasmi, dan bukan di bawah Bersatu. Walaupun ahli parlimen ini daripada Bersatu, dalam keadaan ini, ia (undang-undang) tidak terpakai.
“GRS juga sudah pun mengambil keputusan untuk tidak bersama Perikatan Nasional (gabungan yang termasuk Bersatu) dan membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, oleh itu ahli parlimen mereka tidak tertakluk di bawah bidang kuasa undang-undang anti-lompat parti di mana memerlukan mereka mengosongkan kerusi,” katanya kepada Berita Harian.
Undang-undang itu, katanya, hanya akan terpakai jika salah seorang daripada enam ahli parlimen GRS meninggalkan gabungan itu dan menyertai parti lain.
Di bawah pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 5 Okt, seorang ahli parlimen mesti mengosongkan kerusinya apabila meninggalkan parti di mana dia bertanding dalam pilihan raya.
Beberapa negeri telah meminda perlembagaan negeri bagi merangkumi ADUN, selaras dengan undang-undang anti-lompat parti.
Pada Oktober, pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri akan membuat pindaan yang sama di dewan undangan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Bagaimanapun, ia masih belum berbuat demikian.
-BTS Media