Oleh Zainal AS Rashid
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) telah memberi penghormatan kepada alumni dan penyair terkenal Dr Refaat Alareer, yang terbunuh dalam pengeboman berterusan di Gaza.
Melalui catatan Facebook rasmi, UPM berkata bahawa Refaat adalah sebahagian daripada program PhD di bawah seliaan Profesor Madya Dr Noritah Omar.
Menurut Alumni UPM, beliau sentiasa menyalurkan maklumat mengenai perkembangan di Gaza, selain tentang keadaan diri dan keluarganya yang menjadi mangsa serangan bom Israel.
“Syeikh Bilal Nizar Rayyan menghubungi Dr Refaat ‘Abu Ubaidah’. Beliau adalah pengasas Akaun X Gaza Martyrs, yang memberikan maklumat terkini mengenai Gaza. Mari kita mendoakan roh Dr Refaat dan keluarganya,” tambah Alumni UPM dalam satu catatan Facebook.
Menurut AFP, Refaat adalah salah seorang pemimpin penulis generasi muda di Gaza yang menulis dalam bahasa Inggeris untuk menceritakan kisah mereka.
Rakan-rakannya memaklumkan bahawa beliau terbunuh dalam serangan Israel awal minggu ini.
“Hancur. Hancur hati ini…kawan baik saya Refaat Alareer dibunuh bersama keluarganya beberapa minit lalu,” tulis rakannya, penyair Gaza Mosab Abu Toha, di Facebook.
“Saya tidak mahu percaya. Kami gemar memetik strawberi bersama-sama.”
Israel melancarkan semula serangan di utara Semenanjung Gaza pada petang Khamis.
Pada bulan Oktober lalu, beberapa hari selepas Israel melancarkan serangan darat, Refaat berkata beliau enggan meninggalkan utara Gaza, yang merupakan lokasi pertempuran sengit pada masa itu.
“Pembunuhan Refaat amat tragis, dan keterlaluan. Ia adalah satu kehilangan besar,” tulis rakannya Ahmed Alnaouq di X (sebelum ini Twitter).
Laman web sastera, Literary Hub, turut memberi penghormatan kepadanya, manakala pengarang dan wartawan Ramzy Baroud menulis di X: “Rehat dengan tenang Refaat Alareer. Kami akan terus dibimbing kebijaksanaan anda, hari ini dan untuk selama-lamanya.”
Refaat, seorang profesor kesusasteraan Inggeris di Universiti Islam Gaza, tempat beliau mengajar modul Shakespeare dan subjek lain, juga merupakan salah seorang pengasas bersama projek “We Are Not Numbers”.
-BTS Media