BTS Media

Bangladesh sabit kesalahan terhadap139 ahli politik pembangkang, aktivis

GAMBAR: Dhaka Tribune.

 

Oleh Zainal AS Rashid

BANGLADESH telah mengenakan tuduhan terhadap 139 ahli parti pembangkang dan aktivis sejak dua hari lalu, kata pendakwa raya dan peguam hari ini.

Ia berlaku ketika kerajaan mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan antikerajaan menjelang pilihan raya. Mereka yang dikenakan pelbagai caj, termasuk berpuluh-puluh aktivis dari anggota parti pembangkang utama, Bangladesh Nationalist Party (BNP), lapor AFP.

Bangladesh akan mengadakan pilihan raya umum pada 7 Januari.

Perdana Menteri Sheikh Hasina giat mengatur strategi untuk mengekalkan kuasa pada penggal keempat, walaupun kebimbangan disuarakan oleh beberapa negara yang meminta supaya proses pengundian diadakan secara bebas dan adil.

BNP telah mengadakan beberapa siri perhimpunan dan perarakan besar-besaran sejak tahun lepas dalam usaha untuk memaksa Hasina berundur dan melantik sebuah kerajaan berkecuali di negara itu.

Bagaimana pun, sejak akhir bulan lalu, polis telah bertindak keras terhadap pembangkang, menangkap hampir keseluruhan kepimpinan tertinggi BNP dan menahan beribu-ribu aktivis dan penyokongnya.

Dua pendakwa raya memberitahu AFP sekurang-kurangnya 132 aktivis dan pegawai kanan BNP dipenjarakan oleh dua mahkamah majistret di Dhaka pada hari Ahad dan Isnin.

-BTS Media

Leave a Comment