GAMBAR: Sinar Harian
PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa majoriti rakyat Malaysia sekarang memilih untuk memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) kerana koalisi berkenaan lebih memahami masalah dihadapi mereka berbanding Kerajaan Perpaduan.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, dapatan itu diperoleh hasil tinjauan dan maklum balas diterima beliau dan pemimpin PN lain ketika turun padang bertemu serta mendengar rintihan rakyat di seluruh negara termasuk di kawasan Felda, bandar, kampung dan pedalaman.
Malah, bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa kehidupan rakyat Malaysia sekarang jauh lebih susah dan sengsara berbanding ketika pandemik Covid-19 melanda negara, sebelum ini.
“Saya fikir begitu dan tahu apa masalahnya. Kita turun ke bawah dengar apa rintihan mereka. Di Felda, kampung, apa lagi di bandar. Melayu berdepan masalah cukup besar.
“Saya fikir sewaktu zaman Covid-19 walaupun susah tetapi sekarang ini lagi susah. Apa yang kerajaan buat? Kenapa kekosongan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sampai empat bulan tidak terisi, apa yang susah sangat?” ujarnya dalam satu wawancara bersama Sinar Ahad.
Berikutan itu, Muhyiddin mendakwa, keadaan itu bermakna Perdana Menteri sekarang tidak komited untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat termasuk isu kenaikan harga beras, gula dan barangan keperluan harian lain.
“Apabila kita turun berkempen di bawah, kita tidak sentuh perkara lain tetapi kita bangkitkan perkara yang dekat di hati rakyat. Masalah pendapatan tidak bertambah, nilai ringgit jatuh, beli barang melambung dan sebagainya.
“Ini realitinya. Memang isu ini dalam tinjauan kita sepanjang masa dan paling utamanya ialah kesusahan rakyat. Perkara ini bukan hanya dihadapi pengundi Melayu sahaja tetapi semua kaum. Sekarang ini orang Cina pun sudah tidak percaya dengan kerajaan. Mereka marah sebab DAP tidak bersuara seperti dulu. Jadi itu isunya.
“Sebagai pembangkang, kita faham dan sebab itulah apabila turun ke bawah, kita lihat sudah ada kesedaran daripada pengundi, PN adalah parti yang berjuang. Kita pernah menjadi kerajaan, mungkin insya-ALLAH esok doa kita boleh jadi kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan pertambahan jumlah undi Melayu kepada PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini sebagai sesuatu yang positif kepada koalisi dianggotai parti Bersatu, Pas dan Gerakan itu.
“Walaupun kita tidak mencapai kemenangan tapi kalau dilihat majoriti yang kita dapat sebagai contoh di Pelangai, kita mendapat lebih 1,000 tambahan pengundi. Memang kita tahu kawasan itu susah hendak menang tapi kita masuk juga.
“Di pihak UMNO-BN mereka dapat tambahan undi sedikit sahaja. Maksudnya sudah ada kecenderungan besar untuk pengundi Melayu beralih sokongan, tidak menyokong UMNO tapi sokong PN.
“Tetapi kerana kawasan itu kita tahu bukan Melayu jadi kelemahan di situ, kita akui ia menyebabkan kita belum mencapai kemenangan bukan sahaja di Pelangai tapi di Pulai dan Simpang Jeram dulu,” katanya.
Muhyiddin berkata, biarpun terdapat gelombang kebangkitan orang Melayu menyokong PN, namun kekurangan undi bukan Melayu tetap menjadi penghalang mereka menang di kerusi tentu.
“Sudah ada satu gelombang Melayu majoriti menyokong PN tapi kerana faktor bukan Melayu masih lagi menjadi penghalang menyebabkan kita tidak mencapai kemenangan tapi tidak apa. Ini peringkat permulaan, kecenderungan itu nyata dan kita akan teruskan usaha untuk masa depan,” katanya.