KUALA LUMPUR: Dua ahli keluarga kepada remaja 16 tahun, pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang didakwa menjadi mangsa buli, dijangka memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini petang ini.
Mereka dijangka berbuat demikian pada pukul 4 petang, dipercayai susulan laporan polis yang dibuat oleh wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK terhadap ahli keluarga pelajar berkenaan.
Peguam, Wan Azlina Wan Adnan yang juga Ketua Gerakan Penggubalan Akta Antibuli, memaklumkan keterangan dua ahli keluarga pelajar itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ia adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh wakil PIBG MCKK terhadap ahli keluarga terbabit. Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia kepada Harian Metro, pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 MCKK mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian di platform media sosial selepas anaknya yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital, namun PIBG MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan menularkan kejadian berkenaan.
Menerusi kenyataan di Facebook, persatuan itu mendakwa, tindakan menularkan kes berkenaan di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah terbabit secara keseluruhan.