Oleh Fetty Rara
CARA Parti Keadilan Rakyat (PKR) menangani isu kaitannya dengan pertubuhan Liberal International yang menyokong Israel dalam perang di Gaza dianggap sebagai bencana hubungan awam, kata Khairy Jamaluddin.
Dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan semalam, beliau berkata isu itu boleh diselesaikan dalam satu hari jika parti itu mengakui hubungannya dengan organisasi tersebut.
Bagaimanapun, Khairy berkata isu itu bertambah buruk selepas PKR menafikan hubungan mereka dengan Liberal International.
“Isunya, kenapa PKR tidak berterus terang?,” tanya beliau lagi.
“Mereka telah menafikannya, kemudian berkata mereka hanya ahli pemerhati dan kemudian berkata bahawa mereka telah memberitahu Liberal International supaya membuang logo parti di laman web pertubuhan itu.
“Ini adalah contoh bencana PR (hubungan awam),” kata Khairy.
Sementara itu, Shahril berkata PKR hanya perlu mengaku, dan memberikan penjelasan.
“Mungkin dengan berbuat demikian, orang akan marah. “Tetapi sekurang-kurangnya ia tidak seteruk cuba menutupnya.”
Pada 4 Nov, ketua penerangan PKR Fahmi Fadzil telah membuat permintaan rasmi kepada Liberal International supaya mengeluarkan nama dan logo PKR daripada laman web mereka.
Dia berkata Liberal International telah dihubungi agar membetulkan perkara itu, selain mendakwa PKR tidak pernah terbabit dengan pertubuhan tersebut.
Sehari sebelum itu, Fahmi menolak dakwaan pihak yang mengaitkan PKR dengan sebuah pertubuhan Israel.
Terdahulu, parti Gerakan yang turut tersenarai sebagai ahli Liberal International mengaku bahawa ia benar, tetapi mengecam sokongan pertubuhan tersebut kepada Israel.
-BTS Media