BTS Media

Pelajar MCKK diganggu susulan tular kes ‘buli’, kata PIBG

PELAJAR Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang disyaki terlibat dalam kes buli telah diganggu di sekitar pekan selepas kes itu tular di media sosial, kata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berasrama penuh itu.

PIBG sekolah terbabit mengkritik ahli keluarga individu yang didakwa mangsa buli itu, kerana menularkan kes itu di media sosial, sambil berkata tindakan berkenaan membawa imej buruk kepada MCKK.

Katanya dalam kenyataan, pihaknya “menerima laporan mengenai murid-murid MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan di sekitar Kuala Kangsar dan dicop sebagai ‘pembuli’,” walaupun kes tersebut diambil tindakan oleh pihak sekolah.

PIBG sekolah itu juga menyelar apa yang dikatakan cubaan campur tangan dalam pengurusan sekolah.

Dalam pada itu, ia mencadangkan agar MCKK tidak membenarkan pelajar keluar bersendirian ke pekan Kuala Kangsar sehingga isu itu diselesaikan sepenuhnya, selepas memikirkan risiko kemungkinan diganggu.

Ia juga meminta para pelajar tidak membalas sebarang “serangan atau provokasi” daripada pihak luar.

Ia juga mahu “pihak MCKK membantu membuat laporan polis sekiranya berlaku kacau ganggu kepada murid”, dan pihak kaunseling sekolah “memantau sebarang gangguan emosi yang mungkin berlaku dalam kalangan murid”.

“PIBG MCKK kesal dengan tindakan keluarga murid tersebut yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes ini,” katanya.

Ia menambah pihaknya “yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain agar tidak mencampuri urusan sekolah.”

Semalam, FMT melaporkan ibu kepada seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah berasrama penuh di Perak menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap sekumpulan pelajar senior yang membuli anaknya, pada bulan lalu sehingga mangsa terpaksa mendapat rawatan di hospital.

Wanita itu yang enggan dikenali berkata, tindakan beberapa pelajar membuli anaknya itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan mahu mereka dikenakan tindakan dibuang sekolah.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/11/06/pelajar-mckk-diganggu-susulan-tular-kes-buli-kata-pibg/

Leave a Comment