KETUA Pembangkang Hamzah Zainuddin berkata PN masih sedang mengumpul segala maklumat berhubung dakwaan ugutan yang diterima ahli parlimennya supaya menyokong Kerajaan Perpaduan sebelum membuat laporan polis.
“Kita sedang mengumpulkan maklumat kerana kita ambil gambar-gambar mereka yang berjumpa dengan kita, kita nak tengok sama ada orang ini datang daripada mana.
“Dia mudah saja, dia akan jawab saya buat ini kerana saya sayangkan perdana menteri dan perdana menteri boleh kata dia tak kenal pun orang ini, biasa saja.
“Laporan polis, laporan polis tapi kita juga tahu bahawa ini adalah jawapan yang akan diberikan tetapi yang penting berhenti buat semua benda ini. Itu yang paling penting kepada kita,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN di Publika, Kuala Lumpur hari ini.
Hamzah yang juga setiausaha agung PN berkata demikian ketika mengulas gesaan supaya laporan polis dibuat berhubung dakwaan terbabit.
Pertengahan bulan lalu, Hamzah mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut SPRM supaya menyokong kerajaan dan sekiranya enggan, akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Hamzah yang juga ketua pembangkang, menunjukkan bukti jika benar dakwaan Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.
Sambil menafikan dakwaan dibuat Hamzah itu, Anwar berkata tuduhan dibuat itu suatu yang serius dan sepatutnya dibuat laporan untuk disiasat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula menafikan agensi itu terlibat manakala Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan tiada laporan polis dibuat berkenaan perkara itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata dakwaan bahawa pihaknya cuba menakut-nakutkan ahli parlimen PN itu supaya menyokong kerajaan bertujuan mencemarkan nama baik agensi itu.
Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila Presiden Muda yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpaling tadah menarik balik sokongan terhadap gabungan parti kerajaan.
Pada awal bulan lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman – kedua-duanya anggota Bersatu – menyuarakan sokongan kepada Anwar.
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.
Mereka antara lain berkata keputusan itu ekoran peningkatan kos sara hidup di kawasan mereka.
Dengan pertambahan sokongan tersebut, Anwar kini menerima sokongan 149 ahli Parlimen – melepasi majoriti dua pertiga dan justeru boleh meminda Perlembagaan Persekutuan.