SEORANG Ahli Parlimen PKR percaya suhu politik negara boleh diredakan jika rakan sejawatnya di blok pembangkang turut mendapat peruntukan sama rata tanpa rundingan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata sebagai seorang pemimpin dunia Islam yang dihormati, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu bersikap adil dengan rakyatnya sendiri jika tidak mahu laungan “keadilan” di pentas antarabangsa dipertikai.
“Janganlah soal kecil-kecil (dipolitikkan), selesaikan benda ni. Lagipun peruntukan ini ada dalam belanjawan negara, ia di bawah Jabatan Perdana Menteri, jadi apa masalahnya.
“Cakap keadilan di peringkat antarabangsa tapi benda macam ni (peruntukan) tak selesai dalam negeri,” katanya pada program temu bual, Enigma terbitan FMT, malam tadi.
“Saya berpendapat suhu politik kita akan menurun kalau ada keadilan, bukan semua Ahli Parlimen kaya raya…Hak ini (peruntukan) untuk kawasan seperti sekolah, surau, masjid, NGO dan tolong kampung.”
Hassan juga berpendapat tidak perlu ada perbincangan atau perjanjian persefahaman (MoU) dibuat dengan pembangkang untuk mendapatkan peruntukan.
Pada 19 Sept lalu, Anwar berkata pembangkang perlu berunding dengan kerajaan untuk mendapat peruntukan, sambil menyatakan pendekatan berkenaan sama seperti dilalui mereka pada 2021.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pula mendedahkan sehingga kini Ahli Parlimen pembangkang tidak menghantar surat memohon peruntukan, di sebalik pelawaan kerajaan.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar, kerana tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terbiar dan ketinggalan semata-mata perbalahan naratif politik.