GAMBAR: Anadolu.
Oleh Fetty Rara
SEKUMPULAN wartawan didenda “secara tidak sah” oleh polis Perancis semasa membuat liputan protes pro-Palestin di Paris pada petang hari Rabu.
Tindakan terhadap wartawan yang tidak pernah berlaku sebelum ini itu berlaku di Place de la Republique (Dataran Republik), di mana berpuluh-puluh penunjuk perasaan berkumpul bersolidariti dengan Palestin, sehari selepas serangan udara Israel membunuh lebih 470 orang di Gaza, lapor agensi berita Anadolu.
Seorang daripada wartawan yang didenda €135 (RM676) berkata dia didenda walaupun menunjukkan kad kewartawanan, yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan Perancis.
Dalam keadaan biasa wartawan yang sah memiliki kad wartawan adalah bebas untuk membuat liputan sebarang acara awam.
“Saya menunjukkan kad akhbar saya, tetapi pegawai polis itu memberitahu saya bahawa dia tidak peduli, dan menuduh saya menyertai demonstrasi yang dilarang,” kata wartawan yang enggan namanya disebut kerana bimbang akan terus dimangsakan oleh polis.
Dia berkata: “Walaupun saya menjelaskan bahawa saya berada di lokasi itu untuk membuat liputan dan bukannya mengambil bahagian, dia terus mencatatkan maklumat pengenalan saya dan memberitahu bahawa saya perlu membayar denda sebanyak 135 euro.
“Dia kemudian memberi amaran supaya saya tidak menghadiri mana-mana perhimpunan, jika tidak mahu didenda lagi. Ini adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.
Kementerian Dalam Negeri Perancis telah mengeluarkan arahan mengharamkan sebarang tunjuk perasaan menyokong Palestin sejak 12 Oktober.
-BTS Media