BTS Media

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh kata pihaknya tak boleh halang Gardenia KL menaikkan harga

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sudah menghantar notis meminta Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) memberi penjelasan berkenaan 30 jenis produk keluaran syarikat itu yang dinaikkan harga mulai bulan depan.

Surat itu dihantar semalam dan Gardenia KL diberi masa enam hari untuk menjawab notis berkenaan.

“KPDN sudah mengeluarkan surat notis kepada Gardenia untuk memberi penjelasan berkenaan 30 jenis item naik harga pada 27 September lalu.

“Mereka diberi tempoh enam hari untuk menjawab notis itu dan mereka pun dah keluarkan kenyataan roti putih tak naik harga, jadi kita akan tunggu jawapan dia,” kata Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh ketika ditemui media di Kuantan, hari ini.

Gardenia KL dalam satu kenyataan semalam memaklumkan beberapa produk terpilih keluaran syarikat itu akan mengalami kenaikan harga.

Produk itu termasuk Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yellow Noodle dan Numee Keluarga.

Pihak pengurusan Gardenia KL mengesahkan perubahan harga itu berkuat kuasa 1 Oktober ini selepas pihaknya menyemak semula harga bagi produk berkenaan.

Fuziah berkata pihaknya tidak boleh menghalang Gardenia KL daripada menaikkan harga seperti diumumkan sebelum ini.

“Tapi kita boleh dapatkan maklumat dan penjelasan lengkap kenapa mereka naik harga dan memastikan tiada pencatutan berlaku, pencatutan ini luar biasalah kenaikan (harga) produk itu,” katanya lagi.

-BTS Media

Leave a Comment