GAMBAR: Dilesenkan di bawah Wikimedia Commons.
Oleh Yusoff A. Shariff
INDIA menggunakan undang-undang anti pengubahan wang haram sebagai alat “kejam” untuk menutup mulut kumpulan masyarakat sivil, menindas aktivis dan pihak pembangkang, kata Amnesty International pada hari Rabu.
Perkara ini telah lama dibangkitkan oleh pengkritik kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan media berikutan gangguan hak bersuara dalam negara demokrasi terbesar dunia di bawah pentadbiran kerajaan nasionalis-Hindu Perdana Menteri Narendra Modi itu.
Kerajaan, bagaimana, menafikan tuduhan tersebut, lapor AFP.
Menurut Amnesty, cadangan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) yang berpangkalan di Paris disalahgunakan sebagai “undang-undang zalim” bagi menyekat pihak bukan kerajaan yang tidak memihak kepada kerajaan, selain menyekat dana pembiayaan untuk operasi mereka.
FATF, yang dianggotai 39 negara turut dianggotai oleh India sejak tahun 2010, dan diberikan mandat untuk mengambil tindakan ke atas aktiviti pengubahan wang haram serta pembiayaan pengganasan global.
Kini, apa yang membimbangkan ialah penggunaan peraturan tersebut bagi menindas pihak pengkritik dan pembangkang.
Pengkritik berkata kerajaan Modi telah berusaha untuk menekan kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang dengan meneliti kewangan dan seterusnya mencari alasan mengaitkannya dengan undang-undang berkenaan.
“Bertopengkan usaha memerangi keganasan, kerajaan India memanfaatkan saranan FATF sebagai alat undang-undang kewangan dan pencegahan keganasan untuk menutup mulut pengkritik,” kata pengerusi Amnesty International India Aakar Patel dalam satu kenyataan.
Sejak 10 tahun lalu, India telah membatalkan lesen lebih 20,600 pertubuhan bukan kerajaan, dengan hampir 6,000 daripadanya berlaku sejak 2022, kata laporan itu.
Pada 2020, Amnesty International terpaksa menggantung operasinya di India selepas akaun banknya dibekukan.
Apabila dikecam, kerajaan India sentiasa menafikan, dan sebaliknya mengaitkan Amnesty tuduhan “amalan haram” yang kononnya melibatkan pemindahan “sejumlah besar wang” dari Amnesty United Kingdom ke India.
Mana-mana wartawan yang mengkritik kerajaan juga mengadu tentang peningkatan gangguan dan penindasan, baik di media sosial, yang kuat dikuasai parti kerajaan Modi– dan di dunia nyata.
-BTS Media